Pages

12 March 2013

Saya Malu, Cikgu..

Hari Sabtu, 9 Mac 2013, Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih :

Kem Bestari Solat Fasa 1. Sasarannya semua murid Islam Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6. Rata-rata datang ke sekolah dengan menyarung baju raya. Apa rasional kem bestari solat dengan baju raya siap bersampin segala? Tak kisahla. Janji semua datang dengan baju bersih dan sopan untuk program hari ini. Sambutan menggalakkan. Riuh rendah mulut masing-masing walaupun dah diarahkan berada dalam barisan. Tak boleh nak salahkan murid semata sebab cikgu-cikgu dan ustaz ustazah juga sama sibuk rujuk jadual bertugas masing-masing. Sebagai cikgu baru yang berpraktikum, jujurnya aku excited. Ok, bukanlah sampai nak melompat sebagai tanda excited. Aku ditugaskan dengan 2 orang kakak senior yang lain bagi slot Bacaan Dalam Slot. Slot aku pukul 11 pagi di Tahun 4 Cekal. Jadi, 8.30 pagi hingga 10 pagi aku berpenat lelah berpening kepala menanda skrip jawapan exam murid-murid aku.

Jam 11 pagi :
Suasana kelas 4 Cekal bising. Masing-masing tenaga lebih sebab baru lepas makan.Yang lelaki majoriti bergumpal di atas tikar surau yang sepatutnya jadi tempat amali solat. Haiisshh.. nak kena budak-budak ni. "Cikgu kira sampai 3. Siapa tak duduk, cikgu suruh kamu hafal Doa Qunut atas padang! 1.. 2.. 3!!!!" Bertempiran budak-budak berlari. Cikgu tersengih. (ok, kejam!). "Baiklah kelas. Hari ini cikgu akan mengajar awak semua bacaan dalam solat. Sebelum tu, pagi tadi ada sesiapa antara kamu yang solat Subuh?" Alhamdulillah, ramai yang angkat tangan. Petua kepada adik-adik yang nak berpraktikum, kalau nak tanya soalan biar ramai yang ada peluang angkat dan soalan berbentuk positif. Cuba bandingkan "Siapa antara kamu yang solat pagi tadi?" Tentulah bangga murid yang angkat tangan kan? Berbanding dengan "Siapa tak solat pagi tadi?" Hah.. nak angkat tangan pun murid malu.

Selesai penerangan, tiba masa untuk amali. Dalam riuh-rendah murid lain beratur menunggu giliran untuk amali bacaan, tiba-tiba ada yang bersuara, "Cikgu, Syafiq (bukan nama sebenar) menangis!" "Eh, kenapa pulak? Panggil Syafiq ke sini. Yang lain tunggu dulu ya? Cikgu nak cakap dengan Syafiq kejap". Sambil menutup muka dengan buku bacaan solat, jelas kedengaran sedu-sedan Syafiq. Orangnya comel, berbadan besar dengan muka bulat. Mata dah merah. "Kenapa ni Syafiq? Cuba cakap dengan cikgu."

Syafiq diam. "Mungkin Syafiq boleh kongsi dengan cikgu?" Syafiq diam lagi. Rakan yang lain mula berbisik sesama sendiri. "Syafiq ada masalah? Mungkin cikgu boleh tolong Syafiq". Syafiq angkat muka. Matanya berair, Syafiq memandang Cikgu Farah sambil berkata,  "Saya malu, cikgu.. Saya tak tahu doa iftitah, tahiyat awal dan tahiyat akhir. Saya cuma tahu Al-Fatihah. Saya malu dengan kawan-kawan. Saya tak tahu.. "

Alahai Syafiq. Siannya.. Sampai menangis. Aku berpaling kepada kelas sambil berkata, "Siapa antara kamu yang sudah hafal Doa Iftitah, Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir? Dan mahukan pahala lebih?" Subhanallah.. Hampir separuh kelas mengangkat tangan mahu menolong Syafiq. "Tengok, Syafiq. Kamu tak patut malu. Tengok.. Kawan-kawan kamu ramai yang nak tolong kamu". Perlahan-lahan Syafiq senyum sambil mengelap mata. Kawan-kawan Syafiq mula berebut mahu menolong Syafiq. Sekejap je Syafiq nampak mula selesa. Walau merangkak membaca satu demi satu ayat bermula dengan Doa Iftitah, di akhir sesi Kem Bestari Solat itu, Syafiq datang mahu bersalam. Sempat lagi dia berkata, "Cikgu, saya dah hafal separuh Doa Iftitah. Balik nanti saya nak hafal sampai habis. Cikgu doakan saya ye?" InsyaAllah, Syafiq. Moga Allah limpahkan pahala dan kemudahan kepada Syafiq untuk menghafal. :")

1 comment:

Harmi bin Mohammad Jamil said...

Pahala pasti berpanjangan selagi mana murid mengamalkan ajaran kita. Tahniah!